Thursday 27 October 2011

Kompleks beli-belah

1) Pada hujung minggu, ramai orang berkunjung ke pusat membeli-belah.
2) Saya berasa sedih melihat sekumpulan pelajar bersantai di kompleks membeli-belah pada waktu persekolahan.

Huraian:

Frasa nama kompleks membeli-belah bermaksud "kompleks yang melakukan kerja membeli-belah", sedangkan maksud sebenarnya ialah "tempat tumpuan orang ramai untuk membeli-belah". Bentuk yang betul ialah kompleks beli-belah. Demikian juga dengan contoh-contoh seperti pusat cuci kereta (bukan pusat mencuci kereta), keadai gunting rambut (bukan kedai menggunting rambut) dan sebgaianya. Ayat di atas perlu dibetulkan seperti yang berikut :

1) Pada hujung minggi, ramai orang berkunjung ke pusat beli-belah.
2) Saya berasa sedih melihat sekumpulan pelajar bersantai di kompleks beli-belah pada waktu persekolahan.

Pilihanraya atau Pilihan raya

1) Pilihanraya umum negara jiran kita baru sahaja selesai dilangsungkan.
2) Bandaraya itu sangat pesat membangun.

Huraian:

Kedua-dua ayat di atas salah dari segi hukum kata majmuk yang telah ditetapkan. Dalam kata majmuk, kata raya mesti dipisahkan daripada unsur pertama kecuali kata nama khas yang telah diwartakan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Oleh itu, ayat-ayat di atas perlu dibetulkan seperti yang berikut:

1) Pilihan raya umum negara jiran kita baru sahaja selesai dilangsungkan.
2) Bandar raya itu sangat pesat membangun.

Friday 21 October 2011

Pengembala atau Penggembala

1) Pengembala itu sedang melihat kambingnya meragut rumput.
2) Budak lelaki itu mengembala lembu di sebuah ladang.


Huraian:



Bagi kata dasar yang bermula dengan huruf g, apabila diimbuhkan dengan awalan peN-..... dan meN-..... huruf g tersebut tidak digugurkan. Contohnya, pengganas, penggali, menggamit, dan menggulai. Oleh sebab itu, ayat di atas perlu dibetulkan seperti ayat di bawah:

1) Penggembala  itu sedang melihat kambingnya meragut rumput.
2) Budak lelaki itu menggembala lembu di sebuah ladang.

Ia

1) Ayah membeli perabot baharu. Ia dibuat daripada kayu jati.
2) Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti masalah pembelajaran. Ianya dilakukan dengan menggunakan kaedah tinjauan.
 
Huraian:

Kata ganti nama diri ia hanya digunakan untuk manusia, bukan untuk binatang, benda atau kata nama abstrak. Bentuk ianya ialah bentuk yang salah kerana kata ganti nama diri  ia tidak boleh digabungkan dengan kata ganti nama diri -nya. Ayat-ayat di atas sepatutnya dimurnikan seperti yang berikut:

1)  Ayat membeli perabot baharu. Perabot  itu dibuat daripada kayu jati.
2) Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti masalah pembelajaran dan dilakukan dengan menggunakan kaedah tinjauan.

Friday 14 October 2011

Cara mengenal kata nama

1. Gopal membeli sepasang baju dari pasar raya.
2. Ayah menyembelih  sepuluh ekor ayam pada hari raya yang lalu.
3. Ketiga-tiga orang murid itu memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan

Huraian:

Kata nama merupakan kata yang menamakan orang, tempat, benda atau konsep. Kata nama dapat diketahui apabila kata itu didahului oleh penjodoh bilangan. Misalnya dalam ayat (1) , baju didahului oleh penjodoh bilangan sepasang. Dalam ayat (2), sepuluh merupakan kata bilangan tentu yang bergabung dengan penjodoh bilangan ekor dan kata nama ayam. Di samping itu, ayat (3) jelas menunjukkan contoh penggunaan kata bilangan himpunan yang mendahului kata nama, iaitu pelajar.

Berbanggalah dengan bahasa kita.

Bahasa Melayu merupakan bahasa ilmu. Ini jelas terbukti kerana terdapat pelbagai buku yang ilmiah yang mengutarakan jhal demikian sejak dahulu. Dalam hal tersebut, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempunyai peranan penting dalam usaha untuk mengekalkan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu juga memang mampu menjadi alat perpaduan penting. Jika dilihat kini, ramai ahli politik bukan Melayu yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu, malah ada yang lebih baik daripada orang Melayu itu sendiri.